Monday, September 30, 2019

BBM3410Satu2019: SUATU KETIKA

Suatu ketika dahulu, segalanya indah walaupun dihimpit dengan pelbagai ujian yang melanda. Suatu ketika dulu, masih terasa eratnya kasih sayang antara keluarga. Masa demi masa berlalu, yang dikasihi dan disayangi telahpun meningkat usianya. Hari berganti hari, detik berganti detik. Kulit lembut yang dulunya membelai badanku kini kian berkeriput. Tangan yang dulu selalu mengangkat dan mendukungku kini telahpun lemah. Sungguh, aku amat sedih! 

Cerita ini tentang sebuah keluarga yang tinggal di bandar kecil. Keluarga ini dikurniakan 4 orang anak. 3 lelaki dan seorang sahaja anak perempuan. Yang sulung namanya Aisyah, yang kedua namanya Annuar, yang ketiga namanya Nazif dan yang bongsu namanya Syafiq. Akulah Si Sulung itu. Imbas kembali suatu ketika dahulu, sewaktu aku masih kecil. Setiap petang, selepas bapaku pulang dari kerja menaiki motosikal, ibu,aku dan adik-adik sudahpun bersiap mahu keluar beriadah di taman permainan. Bapaku akan membawa kami semua menaiki motor dan kami pergi ke taman permainan yang berbeza setiap hari. Aku berasa sangat bahagia. Selain dari taman permainan, bapaku juga akan membawa ibu, aku dan adik-adik pergi ke kolam memancing ikan. Bapa dan ibuku sangat suka memancing ikan manakala aku dan adik-adikku akan duduk di pondok bermain-main dan makan jajan. Aku juga pernah dibawa ke suatu tempat yang sangat cantik yang aku panggil Padang Pasir. Padang Pasir ini sebenarnya merupakan satu pantai kecil yang terketak jauh di pedalaman. Apabila air naik, ibu, aku dan adik-adik akan bermandi manda di situ. Sebelah padang pasir, terdapat pokok bakau. Bapaku juga pernah mengajak ibu, aku dan adik-adik mencari suiput sedut yang bersembunyi di dalam lumpur. Aku berasa sangat gembira!

Setelah memasuki alam persekolahan tadika, bapaku akan menghantarku ke sekolah setiap pagi. Sebelum sampai ke sekolah, bapaku akan singgah ke kedai runcit dan membelikanku sekotak air milo dan biskut Tiger untuk dimakan sebelum masuk ke kelas. Setelah tamat sesi persekolahan, bapaku akan mengambilku pulang dari sekolah dan akan singgah di kedai yang sama untuk membeli pensel warna, buku tulis dan sebuah buku cerita. Sesampainya di rumah, setelah bersiap siap, ibuku akan menulis perkataan-perkataan di atas garisan buku tadi dan aku akan menyambungnya hingga habis muka surat. Pada waktu petang pula, ibuku akan mengajar aku membaca buku cerita sehingga aku pandai bercerita di khalayak ramai. Pada waktu malam pula, bapaku akan melukis gambar gambar pemandangan dan menyuruh aku mewarna gambar tersebut. Dari situ, aku sudah pandai mewarna dengan cantik sekali. 

Aku sangat rindu waktu kecil dahulu. Kini ibu bapaku sudahpun tua, tenaganya sudah mulai lemah. Semoga aku dapat menjadi seorang anak yang baik. amin!                           

BBM3410Satu2019: TIP MUDAH BELAJAR



 

Tips Mudah Belajar yang dikongsikan di laman Instagram saya!

  • Doa : Perkara penting sebelum melakukan sesuatu perkara adalah dengan berdoa. Kita memohon semoga Allah bukakan pintu hati kita agar mudah menerima ilmu dan akan mengingatinya serta menggunakannya sampailah ke akhir hayat. 

  • Adab: Pelajar mestilah menjaga adab dengan guru. Adab ini sangatlah penting. Perlu diketahui bahawa, redanya seorang guru adalah kunci keberkatan sesuatu ilmu yang dipelajari. Dan reda itu boleh didapatkan apabila kita menjaga adab semasa belajar. 

  • Tempat: Pastikan tempat belajar dalam keadaan bersih, kemas dan selesa supaya dapat memberikan perhatian yang penuh semasa belajar. Tempat yang bersih membuatkan pelajar berasa selesa dan tenang untuk belajar


  • Tetapkan objektif pembelajaran: Sebelum memulakan sesi pembelajaran, tulis pada sehelai kertas tentang apa yang ingin dipelajari, diketahui dan difahami. Hal ini dapat mengelakkan pelajar berasa terganggu dengan bahan bacaan lain yang tidak berkaitan. 

  • Masa: Berdasarkan pada kajian lepas, waktu belajar yang berkesan adalah pada jam 4 hingga 6:30 pagi. Hal ini kerana kapasiti oksigen dalam otak berada pada tahap maksimum. Ianya akan memudahkan otak menyerap input-input  dengan lebih cepat

  • Ketahui model gaya pembelajaran VAK: Setiap menusia mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza yang memudahkan mereka belajar dan mempercepatkan lagi pemahaman semasa belajar. Terdapat 3 model gaya belajar iaitu:
    • Visual: Lebih cepat faham dengan cara melihat. Rangsang pengelihatan dengan tulisan atau bahan bacaan yang bercorak dan berwarna
    • Audiotori: Lebih cepat faham melalui pendengaran. Rangsang pendengaran dengan memasukkan elemen muzikal dalam sesi pembelajaran
    • Kinestetik: Lebih cepat faham dengan melakukan aktiviti fizikal yang bersifat praktis semasa belajar.

  • Melakukan Ulangkaji: Ulang kaji akan menambahkan kefahaman tentang sesuatu ilmu. Hal ini demikaian kerana
Kita akan ingat 10% apa yang dibaca
Kita akan ingat 20% apa yang didengar
Kita akan ingat 50% apa yang dilihat dan didengar
Kita akan ingat 70% apa yang dituturkan
Kita akan ingat 90% apa yang dipraktikkan.


Terdapat satu pepatah yang mengatakan bahawa, Bila kamu tak tahan lelahnya belajar, kamu akan menanggung perihnya kebodohan. Semoga tips yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca blog semua. 

Semoga berjumpa lagi! Assalammualaikum.                                                                                                                                


Tuesday, September 24, 2019

Bbm3410Satu: MASIH DI SINI

Pengalaman Terbaik 2 : D'zura Enterprise


Pengalaman terindah ini adalah pada tahun 2012. Pengalaman terindah yang menjadikan seorang gadis bernama Aisyah menjadi seorang anak muda yang matang, berdikari dan sentiasa bersemangat mahu menjadi seorang yang lebih baik hari demi hari.

2012- seorang anak muda yang bernama Aisyah yang masih lagi di alam persekolahan (Tingkatan 3) mengambil keputusan untuk bekerja selepas habis waktu persekolahan. D'zura Enterprise- di sinilah anak muda ini buat pertama kalinya menceburkan diri dalam bidang pekerjaan sebagai pembantu kedai fotostat dan cetakan. Sebaik sahaja waktu persekolahan tamat, dia berasa teruja pergi ke kedai dan bekerja. Hari demi hari yang dilalui, ramai saja manusia yang mempersoalkan tentang dirinya. "Tak sekolah ke?," Kenapa Kerja? Mak bapak mana? "Ada juga hari yang dilalui, dimaki dengan pelanggan yang kurang kesabaran diri. Malah, ada juga dari kalangan guru kelas yang mempersendakan semangat anak muda ini untuk bekerja.

Disebabkan oleh kejadian itu, gadis ini tidak pernah patah semangat. Dia tahu apa yang dia lakukan. Dia ingin hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan kewangan dari ibu bapanya. Dia ingin menjadi seorang anak yang sentiasa membuat keluarganya bahagia dengan membelanjakan gaji yang diperoleh untuk keluarganya yang tercinta. Dirinya cuma mengambil RM 40 untuk membeli buku latihan PMR. 

Gadis yang bernama Aisyah ini percaya bahawa jika kita gembirakan hati ibu bapa dan adik-adik, Allah akan permudahkan segalanya bagi Aisyah. Dan ianya terbukti apabila Aisyah dianugerahkan sebagai Pelajar Cemerlang PMR 2013 sekali gus menjadi Tokoh Nilam Sekolah, Peringkat Daerah Klang. Pengalaman ini sangat bermakna, mengajar Aisyah bahawa dengan membuat orang sekeliling bahagia, Allah balas dengan lebih lagi kebahagiaan untuk diri Aisyah. Alhamdulillah. 

Monday, September 23, 2019

BBM3410Satu: MASIH DI SINI

Pengalaman Terindah Aisyah 1: Amirul Nizam 

 


Bagi seorang gadis yang bernama Aisyah, pengalaman yang terindah diertikan sebagai suatu kejadian yang menjadikan dirinya seorang gadis yang kuat, sabar dan sentiasa melihat sisi kebaikan dalam setiap detik perjalanan hidup yang ditempuhnya.

Pengalaman terindah bagi seorang gadis yang bernama Aisyah adalah apabila diuji dengan kegagalan  demi kegagalan sehingga dia berubah menjadi seorang gadis yang berani dan terus berjuang walaupun dipijak beribu ujian yang melanda.

Pengalaman gagal mendapat tawaran matrikulasi dan menjadi bahan sindiran rakan seperjuangan menyebabkan Aisyah mengambil keputusan untuk memasuki tingkatan 6 di Sekolah Tinggi Klang. Di situ, Aisyah berkenalan dengan seorang kawan lelaki yang berperwatakan garang, teliti dan sentiasa mengutamakan penampilan diri serta tekun dalam pelajaran. 

Persahabatan ini telah mengajar Aisyah banyak perkara. Jatuh-bangun, suka-duka, tangis-tawa bersama telah mengubah diri Aisyah menjadi seorang gadis yang semakin cantik, semakin pintar. Hingga ke hari ini, Aisyah dan kawan lelakinya itu berjaya menyambung pelajaran peringkat Bacelor bersama-sama di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Pengalaman yang terindah ini telah menjadikan gadis yang bernama Aisyah seorang wanita yabg cantik, berjaya dan berpendidikan. Alhamdulillah. 

Sunday, September 22, 2019

BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Etika Penulisan Blog.



Melalui buku "Boom! with Social Media" karya Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim, etika penulisan blog dinyatakan dari segi aspek yang berikut; 


1. Pemilihan Kata
Untuk menghasilkan sebuah blog yang berkualiti, penulis blog harus menitik beratkan pemilihan kata yang bersesuaian dengan tajuk. Pemilihan kata ini harusah bersifat umum dan dapat difahami oleh setiap peringkat umur. Jika terdapat perkataan-perkataan yang sukar difahami, penulis sebaiknya menerangkan dengan menggunakan ayat yang mudah difahami atau sebolehnya sertakan pautan untuk pembaca memahami perkataan itu dengan lebih mendalam lagi. 

2. Struktur ayat. 
Penulis blog haruslah mengetahui peringkat umur pembaca sasaran. Hal ini kerana, penulis perlu membuat keputusan tentang struktur ayat yang bagaimanakah harus digunakan dalam penulisan untuk menyampaikan mesej kepada pembaca sasaran agar dapat difahami isinya. Struktur ayat haruslah mudah, senang difahami, tidak meleret-leret dan tidak terlampau berbunga-bunga yang boleh menyebabkan pembaca hilang fokus. 

3. Mengikut peraturan tatabahasa.
Tidak dinafikan, penulisan blog juga menyumbang kepada masalah bahasa seperti percampuran kod, penciptaan bahasa-bahasa baru yang menyalahi peraturan bahasa. Oleh yag demikian, setiap penulis bertanggungjawab atas setiap butir perkkataann yang digunakan. Hal ini kerana, melalui penulisan blog, pembaca berkecenderungan menulis mengikut gaya penulis blog itu sendiri. 

4. Sensitiviti politik dan keagamaan. 
Setiap penulisan yang disiarkan di blog adalah dilarang sama sekali membangkitkan isu-isu sensitif terutamanya yang menyentuh tentang keagamaan dan politik. Hal ini kerana, isu sebegini memberi implikasi yang buruk jika ditularkan dan lebih parah bila ianya mampu menghasut masyarakat sehingga tercetusnya pergaduhan.   Akta Hasutan 1948 merupakan suatu akta undang-undang di Malaysia yang digubal untuk menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut. 

5. Bahasa Kasar
Penuisan blog yang menggunakan bahasa yang kasar adalah dilarang sama sekali. Pengunaan bahasa kasar di dalam blog akan mencerminkan sikap buruk penulis blog seterusnya boleh juga mencetuskan pergaduhan dalam kalangan penulis blog mahupun pembaca. Hal ini kerana, bahasa kasar secara umumnya adalah bahasa yang mampu mengguris dan menyebabkaa rasa sakit  hati. Oleh itu, penulis dinasihatkan gar elak menggunakan bahasa kasar dalam penulisan blog. 

6. Ugutan 
Setiap penulis blog adalah dilarang sama sekali menulis dan menyiarkan siaran yang mengandungi mesej uguta. Hal ini akan memberikan rasa takut kepada pembaca ataupun ppihak tertentu. Ini akan menyumbang kepada suasana tidak aman. Penulis juga boleh dikenakaan tindakan oleh piihak berkuasa kerana menulis tentang  ugutan. 

7. Fitnah
Penulis blog adalah dilarang sama sekali menyebarkan penulisan yang bersifat fitnah. Penulisan sebegini akan menjatuhkan maruah seseorang dan menyebabkan terjadinya salah faham yang akan menggugat keselamatan, keharmonian masyarakat. Oleh yang demikian, penulis harus mengelakkan daripada menulis sesuatu siaran yang belum pasti kesahihannya. 

8. Gambar 
Penulis dinasihatkan agar meletakkan "water mark" dalam setiap foto yang dimuat naik ke dalam blog. Ini merupakan langkah keselamatan bagi mengelakkkan gambar tersebut disalahguna oleh pihak lain. Penggunaan "water mark" dalam foto yang dimuat naik juga melambangkkan bahawa penulis bertanggungjawab keatas  foto yang dimuat naik itu.  

9. Kajian 
Penulis disarankan unntuk mengkaji dahulu sesuatu penulisan sebelum menyiarkannya di dalam blog. Hal ini kerana, blog sering digunakan untuk mencari maklumat yang sah. Oleh yang demikian, penulis harus mengkaji terlebih dahulu sesuatu perkara, setelah disahkan benar, barulah penulis boleh menyiarkannya di dalam blog.   

BBM3410Satu2019: Nenek dan Datuk


Tajuk    : Nenek dan Datuk
Penulis       : Prof. Dr. Normaliza Abd Rahim
Tajuk Buku : Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi,Teori dan Aplikasi
Penerbit      : Penerbit UMT


Cerita ini  mengisahkan tentang Alim dan keluarganya pulang ke kampung di Kajang.  Alim tidak sabar mahu bermain dengan ayam dan itik. Setibanya di kampung, Alim terus keluar dari kereta untuk mencari ayam dan itik. Alim sedih kerana ayam dan itik telah tiada. Nenek menunjukkan ayam dan itik sudah dimasukkan dalam reban baharu buatan datuk. Alim gembira. Kemudian, Alim sedih kerana rumah telah berubah lalu nenek memujuknya. Kedengaran suara Alim ketawa bersama adik-beradiknya. Suasana di kampung mengeratkan hubungan Alim sekeluarga.




Multimedia yang boleh digunakan bagi tujuan penyebaran cerita sosial.

  • Rangkaian  Media Sosial: Menulis cerita sosial di dalam aplikasi Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, WeChat dan menyiarkannya kepada umum. 

  • Blog: Menulis tajuk yang mudah dicapai oleh pembaca untuk dilayari. Sertakan gambar-gambar yang berkaitan dan berinformasi untuk rujukan pembaca sekali gus menarik minat pembaca. 

  • Rangkaian iklan di televisyen dan internet: Merangkumi radio, televisyen, video dan di internet. Ianya merupakan media yang paling berengaruh dan mendapat liputan yang luas dalam kalangan masyarakat.  Terdapat kesan bunyi, gambar berwarna serta imej bergerak yang boleh menarik minat  penonton mahupun pendengar.

  • Billboard elektronik: Dipaparkan di tempat-tempat awam untuk memberi sesuatu mesej. Mendapat capaian yang luas kerana berada di tempat tumpuan orang ramai seperti di tepi lebuh raya, di stesen bas, kompleks membeli belah dan banyak lagi.

Monday, September 16, 2019

BBM3410Satu2019: SAYA FAHAM

Lagu & Lirik : Prof.Dr. Normaliza Abd Rahim
Hak Cipta: Universiti Putra Malaysia




 Tajuk: Saya Faham

Saya kata "Apa khabar"
Dia jawab "Khabar baik"
Ucapan untuk dia
Ucapan untuk saya


Selamat pagi, tengah hari, petang malam
Untuk dia
Untuk saya


Terima Kasih
Sama-sama
Untuk kita
Untuk mereka 

BBM3410Satu2019: DIRI



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Tanggal 25 Ogos tahun 1996, lahirlah seorang puteri sulung hasil perkahwinan antara Encik Dzulkifli bin Mohd Hanafiah dan Puan Norasidah binti Baharuddin. Kelahirannya disambut dengan sangat meriah tanda bahagia besar akan hadir dalam kehidupan sebuah keluarga kecil ini. Puteri yang comel gebu ini diberikan nama Siti Aisyah bersempena dengan nama isteri kesayangan Nabi Muhammad SAW, Saidatina Aisyah RA. 

Si kecil Aisyah ini merupakan seorang kanak-kanak yang periang, gemar melakukan aktiviti lasak dan gemar berkongsi bercerita tentang hari-hari yang dilaluinya. Pada tahun ini , 2019, Aisyah telahpun berumur 23 tahun, menuntut di Universiti Putra Malaysia. Aisyah merupakan seorang pelajar dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi mengambil Bachelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu). Semester ini merupakan semester terakhir Aisyah menuntut di UPM dan Aisyah berasa sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk mengambil subjek Multimedia dalam Bahasa di bawah seliaan Prof. Dr. Normaliza Abd Rahim. 

Diharapkan melalui subjek ini, seorang mahasiswa yang kian meningkat dewasa ini akan mahir menggunakan media sosial untuk berkongsi dan menyebarkan kebaikan kepada setiap manusia yang membacanya.  Seiring dengan berkembangnya tekologi, golongan muda seakan tidak boleh dipisahkan daripada gadjet. Semestinya mereka sangat rapat sehingga tidak boleh dipisahkan lagi dengan media sosial. Oleh yang demikian, dengan asbab mengambil subjek ini, seorang Aisyah yang pendiam di dunia luar tetapi becok di alam siber mampu menyebarkan nasihat-nasihat kebaikan yang akan menjentik, menyentuh dan membelai setiap jiwa insan yang membacanya. Semuanya bermula dengan niat. Jika kita berniat hanya kerana Allah, InsyaAllah, Allah akan mudahkan semuanya. 

Semoga berjumpa lagi di lain siaran. Semoga Allah merahmati kalian semua. 
Assalammualaikum!


Hikmah Di sebalik Siang dan Malam

Bismillah. Alhamdulillah. Assalammualaikum wbt buat pembaca blog Loveby Aisyah yg dikasihi sekalian. Semoga semuanya dalam lindungan Al...